Tragedi Kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah- Tersentuh emosi si kecilku

Assalamualaikum sahabat..

Sudah hampir 2 minggu berlalu kisah tragedi kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Dato' Keramat Kuala Lumpur. Memang tragis, mengorbankan 21 anak kecil dan 2 orang dewasa. Melihat gambar anak-anak kecil tahfiz yang terkorban ini, memang teringat anak-anak sendiri. Yang melihat berasa sayu dan pilu, apatah lagi yang mengalami kehilangan mereka.

Seminggu selepas kejadian kebakaran tersebut, saya mula bercerita pada anak-anak kisah anak-anak tahfiz ini yang mati syahid dan menjadi anak-anak di syurga kelak. Bermula dari cerita azab kubur kemudian diselitkan cerita kisah tragedi kebakaran yang menyayat hati ini. Tersentuh emosi mereka tatkala melihat video kebakaran yang tular itu. Nampak raut wajah mereka seperti 'aduhhhh panas! sakitnya!'...Terkena percikan bunga api pun tangan dah sakit dan melecur, inikan pulak rambut, badan dan semuanya..Allahuakbar! Hanya Allah mengetahui segala rahsia alam ini.

Sempena 1 Hijrah pada hari ini, serta niat ingin menanam dan memupuk rasa belas kasihan dalam diri anak-anak, di samping memupuk sikap bantu-membantu dan ambil peduli, kami membawa anak-anak melihat sendiri tempat kejadian sebagai bukti cerita yang telah disampaikan. Penting bahan bukti bagi anak Sensing saya untuk mendapat pengalaman sebenar sementara anak Thinking boleh berfikir kesan dan akibat. Alhamdulillah, perjalanan ke sana dan tempat parking juga dipermudahkan. Tambahan pula, suami serta wakil penduduk dan surau taman perumahan ingin menyampaikan sumbangan kepada pihak tahfiz tersebut.

Masih ramai yang hadir untuk melihat lokasi sebenar. Ada yang datang dalam rombongan. Ada yang datang dari Kelantan, Seremban dan lain-lain luar Kuala Lumpur. Terharu juga dengan kehadiran mereka. Pihak polis masih mengawal kawasan tempat kejadian mungkin kerana masih terdapat bukti dan proses penyiasatan masih sedang dijalankan buat masa ini. Mudir pusat tahfiz tersebut kelihatan di bawah khemah melayan tetamu-tetamu yang datang. Senyuman tak lekang dari wajahnya walaupun mungkin beliau sudah berdiri di situ selama berjam-jam. Ramai juga yang hadir bertujuan menyampaikan sumbangan ikhlas mereka.

Saat saya melihat akan tingkat 3 pusat tahfiz yang terbakar itu memang dapat merasa bagaimana anak-anak kecil itu menangis menjerit meminta pertolongan saat tragedi kebakaran berlaku. Dalam hati berbisik, 'Jika saya berada di tempat kejadian...apakah saya juga tidak mampu menolong mereka saat itu..?'

Allah sayangkan orang yang baik-baik. Mereka ini huffaz kecil yang Allah sayang akan menjadi penyeri di taman syurga kelak, inshaaAllah. Semoga kita berterusan memupuk rasa belas kasihan dan sikap saling bantu membantu di dalam diri anak-anak kita serta mewujudkan pelapis masyarakat yang peduli untuk generasi masa kini.

 Orang ramai masih berpusu-pusu datang ke tempat kejadian. Sayu hati saat melihat kesan kebakaran di  tingkat 3. Rasa tak sanggup untuk pandang lama-lama. 
 Berkongsi rasa sedih dan belas kasihan bersama-sama anak-anak. Anak-anak dapat melihat sendiri tempat kejadian, orang ramai yang menyumbang serta bantuan yang diberikan kepada pusat tahfiz. 
 Kawasan ini masih dikawal selia oleh pihak polis. Tidak dibenarkan masuk ke dalam kawasan kejadian. 

 Mudir tahfiz berada di bawah khemah melayan tetamu yang berkunjung. 
Anak-anak turut bersalaman dengan mudir tahfiz ini sebagai tanda hormat. 

Yang sudah pergi, tentunya sudah tiada. Muhasabah kembali amalan kebajikan yang kita kumpul sehingga saat ini. Sempena 1 Hijrah ini, sama-sama lah kita berhijrah ke arah yang lebih baik, inshaaAllah. Salam Maal Hijrah. 

Lots of love, 

Comments