Perkongsian Yang Merubah Fikiran

 Assalamualaikum & Hi semua!

Sudah lama rasanya saya tak buat perkongsian di sini. Maafkan Omma ya. 

Banyak benda baru berlaku dalam kehidupan seharian. Bila difikir-fikirkan, rugi betul kalau tak dikongsi. Kenapa saya katakan ianya satu kerugian?

Sebab kita hidup di dunia ini sebagai khalifah di bumi Allah. Tanpa kita sedar, ada perkara yang berlaku dalam hidup kita yang boleh dijadikan pengajaran pada kehidupan orang lain. Tanpa sengaja, tanpa niat dari kita sebagai penulis yang berkongsi. Percayalah, apa jua yang berlaku dalam kehidupan kita kadang-kadang ianya salah satu cara Allah nak sampaikan sesuatu buat insan lain juga. 

Begitu juga dengan kita. Membaca perkongsian dari sahabat lain juga di media sosial contohnya, di facebook, di IG atau di twitter, ada masanya ia memberikan satu power untuk kita bergerak. 'Power' yang boleh merubah ke arah kebaikan, masyaALLAH. Hebat aturan medium yang Allah hantar pada kita kan? 


Ada perkongsian yang indah-indah sahaja dan ada juga perkongsian berbentuk pengalaman pahit. Kedua-duanya boleh memberi impak pada kita. Ada satu bijak pandai menyebut, 'kita adalah apa yang kita baca, apa yang kita baca adalah apa yang kita fikirkan, apa yang kita fikirkan akan memberi kesan pada tingkah laku kita'. 

Perkongsian yang menggambarkan keindahan, pengalaman pahit hatta perkongsian cara masak, cara menanam juga boleh merubah kehidupan seseorang. Contohnya, ada kawan yang selalu berkongsi tentang resipi masakan yang simple-simple. Menarik cara perkongsiannya. Walaupun asalnya kita ni bukanlah minat sangat untuk memasak, tapi asbab dari selalu membaca perkongsian resipi simple tadi boleh merubah dan mengerakkan kita untuk cuba sesuatu yang kita tak jangka!Tiba-tiba rasa nak pergi ke kedai, nak beli bahan-bahan dan buat eksperimen sendiri. Betul tak? 

Begitulah satu perkongsian yang merubah fikiran. 

Sama seperti rezeki, dalam rezeki kita pasti ada rezeki orang lain. Dalam kisah hidup kita pasti ada panduan buat yang lain. Bayangkan jika ia memberi manfaat besar yang membuatkan pembaca berubah ke arah yang lebih baik,masyaALLAH..pahala berpanjangan dan itulah satu bentuk ilmu yang kita akan tinggalkan kelak.

Jadi, usah takut untuk berkongsi cerita kisah kita. Mulalah untuk berkongsi cerita. Kadang kita stuck somewhere, kita perlukan satu rujukan, satu bacaan yang menggerakkan kita. Di situlah fungsi pengalaman cerita dari orang lain. 

Dan dengan coretan Omma kali ni, sebenarnya adalah sebagai salah satu motivasi buat Omma untuk berkongsi apa saja. Dan semoga dengan perkongsian cerita dan pengalaman akan datang dapat memberi manfaat buat semua. 

Salam Sayang, 

Omma Sakinah




Comments

Popular Posts